nuffnang

Tuesday, February 10, 2009

KIAN PERGI

Melewati hari lalu,
Terdiam, terfikir sejenak,
Dulu sama ketawa, sama menangis, sama tersenyum, sama mengadu.

Ikatan ini akan selalu aku belai,
Ditatang cermat,
Jatuh dikutip,
Gugur diambil,
Layu disiram,
Pudar diwarna,
Gelap disuluh,
Simpul dirungkai.

Telinga yang sentiasa menangkap apa jua bait dan kata,
Lima derianya berganda,
Tatkala deriaku ku sumbang kepadanya,
Empat matanya,
Tatkala mataku menjadi mata belakangnya,
Wujud sekadar ingin melindung,
Bertahan supaya dia tidak rapuh,
Berdiri agar dia tidak jatuh,
Berjaga untuk sentosanya.

Aku senandungkan ikatan ini,
Jadi lagu ceritera hayat,
Aku melodikannya,
Menjadi khayalan angan yang tak terlangkau.

Seperti jantung yang perlu detak,
Seperti itu juga aku perlu dia,
Seri langit bila ada bintang,
Seri aku bila ada dia.

Aku selubung kasih pada ikatan ini,
Mencurahkannya tanpa ragu,
Berdiam tatkala dilupa,
Terus menghampir bila dihindar,
Mengukir senyum tatkala dia membawa suka,
Menahan rasa tatkala dia menyakiti,
Kerana aku hanya ingin menjaga rasanya.

Kian pergi,
Seperti ingin terus pergi,
Memudarkan paras aku pada layar matanya,
Mengingatinya, membayangi memori,
Jauh, menjauh dan semakin menjauh.
Suara yang juga kian sayup,
Khabar yang hampir terputus,
Dan putus jua akhirnya…



Liyana Zahim

3.23pm
Tuesday 10 February 2009
UIAM, KL..

No comments: