nuffnang

Monday, May 18, 2009

KUPU-KUPU MALAM


Bingkisan tinta buat teman...

Saat diri terpanggil merungkap rahsia malam,
Cuba menghayati kejadian TUHAN yang satu ini,
Menggerak pemikiran melihat fenomena yang dipinjam-NYA,
Malam itu adalah tabir pengakhiran yang menutup tirai hari,
Kegelapan yang mengisi penjuru alam,
Siulan cengkerik yang dihirau sepi,
Desiran semilir yang berpuput,
Bergesel dengan dedaunan,
Taburan bintang yang jarang dihayati,
Matamalam yang bersinar sendiri,
Umat yang semakin lupa untuk mendongak ke langit,
Untuk mencetus ilham mentaksir erti sebuah malam,
Selubungan langit berawan hitam,
Sekadar dihiasi lakaran kilat yang muncul sesekali,
Malam,
Menutup semulajadi biru warna awan,
Mendakap seluruh kehangatan siang,
Sepasang kaki menderap langkah,
Mencari destinasi yang belum ditentukan,
Menodai falsafah sebuah malam yang tenang,
Malam itu untuk kerehatan,
Dan malam itu untuk zikir dan tasbih pada-NYA..
Perlu apa mengorak hala tanpa tuju?
Seraut wajah nirmala,
Wajah yang mampu menundukkan kaum Adam,
Semerdu suara dendangan buluh perindu,
Meruntun hati umat lelaki,
Keindahan anugerah yang dipesongkan,
Kejahilan yang menyelubungi jiwa,
Kesesatan yang terus memandu hati,
Kemungkaran yang berterusan melingkari sanubari,
Lalu,
Jalan binasa itu yang ditujui,
Si kupu-kupu malam,
Sedarlah dari ilusi buana yang fana,
Hayat yang mustahil ditentu sendiri,
Semesta ini sekadar tatapan sementara,
Dunia ini pentas lakonan yang diperhati,
Kertelanjuran yang tiada jalan sesalan,
Kemungkaran yang dicatiti,
Kealpaan yang dirai Sang Iblisi,
Lantas,
Kebatilan itu ditemui,
Kupu-kupu malam,
Jangan angkuh dengan warna-warni sayapmu,
Usahlah berbangga dengan corak kelebihan yang ada padamu,
Kerana,
Api yang marak sekaligus membakar tubuh kecilmu,
Langsungkan kehidupan dengan kecintaan ILAHI yang satu,
Tujukan langkah pada ambang-ambang keredhaan,
Lewatilah pintu-pintu ganjaran,
Sasarkan objektif kehidupan pada Jannah wal firdausi,
Tanamkan niat berlindung di bawah arasyi,
Moga kamu adalah
Kupu-kupu penghias mimpi yang suci..




Liyana Zahim
10.38pm
Monday, 13 August 2007
IIUM, Gombak

No comments: