Mencipta keluhan yang mengandungi seribu satu rasa,
Di tebing rantau ini,
Tunduk merenung arus kehidupan,
Adakalanya terasa kejam,
Arus yang tak mampu ditongkah,
Kadang-kadang alirannya laju tanpa pernah menyapa tebing yang menjadi sempadannya.
Kerakusan tanpa henti,
Kekejaman tanpa simpati,
Kezaliman yang seakan abadi,
Keperimanusiaan yang sirna dari sekeping hati,
Bilakah kesudahannya semua ini?
Bumi suci yang ternoda,
Tandus dengan manusia berjiwa luhur,
Semenjana si bayi yang baru menjengah buana,
Diragut nyawa, dirampas dari dakapan ibu,
Tangisan yang kedengaran ibarat lagu sepi sayu yang terasa menusuk kalbu,
Tiada kedamaian.
Bumi yang merekah,
Darah yang mengalir,
Segelimpangan mayat yang terbujur kaku.
Ya ALLAH,
Demi kebesaran-MU yang tauhid,
Damaikan bumi kami,
Pencarkan kembali harmoni yang pernah dirasai,
Teguhkan hati kami,
Agar kami berpadu membentuk umat utuh sejati..
Di tebing rantau ini,
Gema kemusnahan menyapa pendengaran,
Jeritan yang menyayat hati,
Gambaran yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata,
Di manakah nilai kemanusiaan?
Hentikanlah peperangan ini.
Jangan korbankan jiwa itu,
Jiwa yang masih belum diisi rasa cinta, kasih dan sayang,
Jangan ambil si bayi suci itu,
Apa dosanya?
Jangan hunus pedang di pangkal leher kanak-kanak itu,
Mereka belum mengerti apa-apa,
Dan jangan seksa jiwa si ibu yang luhur itu,
Kerana ada hati yang masih memerlukan belaian kasih sayangnya..
Di sudut tembok itu,
Sebatang tubuh berselindung,
Mengintai dunia luar yang berdebu,
Tujahan hujan peluru,
Menggugat rasa hati,
Ketakutan yang bermukim,
Kesedihan memerhati saudara yang gugur ke bumi seorang demi seorang,
Alangkah tersayat rasa di jiwa,
Ya TUHAN,
Lindungilah umat Muhammad ini,
Selubungilah dengan lindungan kasih-MU..
Di tebing rantau ini, dongak ke dada langit,
Ambalan awan comel menggamit hati,
Damainya di sana tanpa kekacauan..
Ya TUHAN,
Tiba saat penghujung dunia,
Musnahkanlah kezaliman di bumi ini,
Andai kata langit aman itu mampu dijejaki,
Tempatkan umat Muhammad ini di sana,
Biar mereka tenang di situ..
Hentikan tangisan,
Tamatkan penderitaan,
Lenyapkan kesengsaraan,
Hapuskan keperitan,
Semoga Bumi ini kembali aman..
Di tebing rantau ini,
Doa yang diiring,
Titip pada-MU ya ALLAH,
Lindungilah planet pilihan ini,
Dari perang yang tak pernah berkesudahan..
Liyana Zahim
11.40pm
21st July 2006..
Friday, Aisyah College..
UIA, PJ

No comments:
Post a Comment